mia sekarang siang dia ok je.. just selsema.. tapi bila malam kul 1 mesti badan dia sangat panas.. suhu 38-39 pastu batuk2 berkahak.. semalam masa dia batuk tepuk belakang dia keluar kahak ketul2.. huhuhu..
tapi so far dia aktif n still minum susu lebih kerap dari biasa cuma tak nak makan nasi sangat.. tapi kalo bagi mee/beehon/spageti layann je tgk dia makan.. tadi survey2 info pasal demam jumpa ni.. YaALLah maaf saya lupa blog ke forum sy jumpa..
mintak halal ye share info pada tuan punya info..
Kanak-kanak anak alami suhu tinggi berterusan, muntah mungkin petanda masalah kesihatan serius
ADAKAH anak anda sering demam? Hakikatnya, demam pada waktu malam atau siang sebenarnya sama saja. Bezanya, ibu bapa beranggapan demam malam lebih serius, apatah lagi jika anak merengek dan ibu bapa tidak dapat tidur yang mencukupi.
Demam sebenarnya reaksi tubuh kepada jangkitan virus atau bakteria. Bagaimanapun, bukan semua demam memerlukan ubat. Jika kanak-kanak itu aktif, masih makan dan minum susu, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Dalam masa tiga ke lima hari demamnya akan kebah.
Namun, jika demam disertai dengan muntah, cirit birit, sakit kepala atau lesu, tidak mahu makan dan tidak aktif, ini petanda anak anda memerlukan rawatan segera. Demam yang dialami mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Pakar Runding Kanak-Kanak Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata walaupun demam malam ada kalanya simptom masalah perubatan yang lebih serius seperti limfoma dan leukemia, namun pola demam itu berbeza. Antaranya demam berterusan tanpa mengira siang atau malam.
“Demam juga tidak mengancam nyawa kecuali darjah kepanasannya sungguh tinggi. Pada waktu itulah demam mungkin menjadi petanda masalah lain yang lebih serius.
“Namun, demam sebagai gejala penyakit misalnya tibi, leukemia dan limfoma memiliki pola tertentu dan demam bukan hanya terjadi pada waktu malam saja tetapi waktu siang juga,” katanya.
Kata Dr Azam, demam umumnya sebagai reaksi tubuh kepada jangkitan. Bahagian dalam otak yang disebut hypothalamus mengawal suhu badan. Hypothalamus meningkatkan suhu badan sebagai cara melawan jangkitan. Suhu badan yang meningkat menyebabkan organisma asing yang masuk ke badan tidak boleh bertahan.
“Sekarang ini ramai ibu bapa yang berpendapat demam bagus kerana ia tanda tubuh melawan penyakit. Namun jika suhu badan terlalu panas, kanak-kanak berasa tidak selesa,” katanya.
Dalam keadaan ini katanya, ubat diberi untuk membantu mengurangkan panas demam tetapi masalah demam itu sendiri tidak akan selesai. Biasanya ubat demam diberi apabila panas tubuh mencecah hingga 38.5 darjah ke atas.
Demam dengan suhu tinggi juga membimbangkan kerana bagi sesetengah kanak-kanak ia boleh menyebabkan sawan walaupun demam bukanlah penyakit yang serius. Namun demam yang berulang-ulang disertai dengan muntah, cirit birit perlu diberi perhatian.
“Walaupun demam itu secara fisiologinya reaksi pada jangkitan tetapi jika wujud simptom lain ia mungkin komplikasi masalah kesihatan yang lain.
“Malah perlu diingat, suhu panas badan yang melampau juga boleh mengundang padah termasuk kemungkinan menyebabkan sawan dan kerosakan otak,” katanya.
Mengapa demam?
1) Jangkitan virus adalah punca paling biasa untuk banyak masalah kesihatan misalnya batuk, selesema, cirit-birit dan sebagainya. Ada kala jangkitan virus boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius.
2) Jangkitan bakteria tidak begitu kerap menjadi punca demam. Bakteria selalunya menjadi punca masalah yang lebih serius misalnya pneumonia, masalah ginjal atau meningitis.
Apa boleh dibuat jika suhu badan terlalu panas?
1. Selain ubat demam biasa yang diperoleh dari klinik, paracetamol yang mudah didapati di pasaran juga boleh membantu menurunkan suhu badan.
2. Mandikan atau lap dengan kain basah. Namun berhati-hati kerana ada kalanya memandikan anak ketika dia demam tidak begitu sesuai kerana suhu badan turun mendadak. Ia akan menyebabkan masalah hipertorma (kesejukan kerana hilang suhu mendadak). Sebaiknya guna air suam, lap dan keringkan terus. Namun, demam yang berterusan lima hari membimbangkan kerana ia mungkin boleh dikaitkan dengan masalah lain seperti RA (rhemutoid arthritis atau penyakit auto imun.
Demam yang memerlukan rawatan serius
* Kelenjar leher bengkak
* Mata merah
* Tidak fokus
* Ruam
* Muntah
* Pening kepala
* Menangis/merengek
* Sensitif pada cahaya
* Tidak boleh bergerak disebabkan badan sakit
p/s demam memang kesihan kat bebudak yang demam.. mak pak pun pikiran jadi celaru sehingga boleh bercakaran.. harap2 malam ni mia tak demam lagi InsyaAlllah..
No comments:
Post a Comment